Monday, July 06, 2009

Angin bayu

Saya memandang jauh dari jendela. Angin bertiup membawa cepisan demi cepisan dedaun yang berguguran. Saya hanya mampu memandang jauh. Saya kelu namun jauh dari sudut hati saya mula terfikir alangkah bahagianya saya jika saya mampu dibawa angin sedemikian. Saya diterbangkan kemana sahaja tanpa memikirkan tentang hukum alam.
Sesekali saya terpandang anak-anak kecil ligat bermain walaupun angin agak kuat diketika itu. Mereka bebas berlari, bergurau senda sesama mereka tanpa secalit kerisauan akan apa yang bakal berlaku pada dunia ini kerana mereka berada di dunia mereka. Alangkah indahnya jika saya seperti mereka. Saya tidak perlu berfikir dan berfikir tentang apa kesudahan cerita dunia kita.
Saya mula teringatkan zaman kecil saya. Saya disayangi sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa saya. Saya juga masih ingat bagaimana ibu saya sangat sayang akan saya, setiap hari ibu pasti membelai dan mendakap erat saya. Saya dicium ibu hampir setiap masa. Ibu bagaikan tidak mahu kehilangan saya. Yea, saya sangat sayangkan mereka berdua kerana mereka ibu dan bapa saya dan tiada apa di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan kasih dan sayang mereka terhadap saya. Setiap saat saya dijaga dengan begitu kasih. Minda saya mula mengingatkan tentang bagaimana saya belajar menaiki basikal dan sangat degil tidak mendengar cakap bapa, akhirnya saya terjatuh dari basikal. Lutut kiri saya berdarah, pantas bapa saya mendukung dan membawa saya pulang. Ibu di rumah turut tidak keruan melihat saya menangis kesakitan. Sepanjang malam ibu tidak tidur hanya untuk memastikan keadaan saya okay.
Yea, mungkin saya agak manja, degil tetapi itulah saya!

No comments: